masa tak pernah tunggu kita...

Friday, February 2, 2007

Panorama Indah Sekolahku




Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu di tubuhkan pada 1 Ogos 1950. Guru yang mula-mula mengajar di sekolah ini seramai 3 orang iaitu En. Mohamad bin Haji Ismail ( Guru Besar ), En. Ishak bin Haji Idris dan En. Abdul Kadir bin Abdul Rahman. Manakala murid pula hanyalah seramai 90 orang.




Ia dibina secara gotong royong oleh penduduk Kampung Paya dan Kampung Gong Surau di bawah pimpinan Ketua Kampung Encik Ismail bin Mohamad. Usul untuk membina sekolah ini adalah hasil cadangan yang dikemukakan oleh Haji Husain bin Mohd Amin seorang penduduk Kampung Paya yang telah tamat belajar di Mekah Al Mukarramah.




Sebanyak tiga bilik darjah telah berjaya didirikan iaitu untuk tahun 1, 2 dan 3 sahaja. Keluasan lantai hanyalah 90 x 25 kaki persegi yang menggunakan atap rumbia dan tiang menggunakan kayu Tembesu bulat.



Pada awal 1953, murid tahun 4 dan 5 dari Sekolah Melaayu Kampung Nangka telah berpindah ke sekolah ini beramai-ramai menjadikan jumlah murid 166 orang. Dua orang guru telah bertukar ke sekolah ini iaitu En. Syafie bin Awang dan Nafisah bt Ali. Mulai tahun ini murid sekolah ini semakin bertambah seiring dengan pertambahan pesat penduduk kawasan sekitar. Pada tahun ini juga sekolah ini telah di rasmikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu Tan Sri Ibrahim Fikri. Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Nazir Sekolah Terengganu Encik Abdul Kadir bin Hashim.



Pada asalnya sekolah ini dinamakan Sekolah Melayu kemudian bertukar kepada Sekolah Umum dan beberapa tahun kemudian ditukar menjadi Sekolah Kebangsaan sehinggalah sekarang.




Pada masa ini Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu merupakan salah sebuah sekolah yang mencatatkan pencapaian yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan UPSR. Dari segi fizikalnya pula sekolah ini mempunyai kemudahan yang lengkap sesuai dengan keperluan pendidikan semasa seperti makmal komputer, bilik muzik, makmal sains, Makmal Kemahiran Hidup, pejabat Pentadbiran, Bilik Mesyuarat dan terbaru Bilik Akses Internet.



Sekolah Kampung Baharu juga telah di pilih oleh JPN Terengganu untuk dijadikan sebagai salah sebuah sekolah perintis projek Pembestarian Sekolah yang mula dilaksanakan pada tahun ini.

Guru Besar sekarang iaitu Tuan Haji Ramli bin Yaacob telah memimpin sekolah ini mulai 16 Feruari 2006. Pada setiap tahun pencapaian sekolah ini semakin bertambah meningkat. Keputusan UPSR 2001 seramai 26 orang murid sekolah ini mencapai keputusan 5A, tahun 2002 pula seramai 14 orang mencapai keputusan yang sama. Tahun 2003 (26 orang 5A), 2004 (17 orang 5A), 2005 (15 orang 5A) dan tahun 2006 merupakan suatu rekod bagi sekolah ini dengan jumlah 33 orang murid memperolehi 5A.

No comments: